Jumaat, 26 Oktober 2012

mEnGaPA kAWaN mAKan kawAn


Lumrah dunia ada dikalangan kita yang baik-baik dan ada juga yang jahat. Namun hampir semua kita lebih tajam ingatan apabila orang melakukan kejahatan terhadap kita berbanding kebaikan. Kejadian dunia kadang-kadang menyebabkan kita keliru dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kawan makan kawan menjadi persoalan kepada kita semua. Mengapa ia berlaku? adakah mereka-mereka ini tidak punya perasaan?

Setiap kita di dunia sentiasa ingin menjadi terbaik. Inilah disebut survival kehidupan. Sentiasa bersaing sesama sendiri. Dikala mengejar sesuatu yang terbaik kita kadang-kadang terlupa dan alpa mengenai kemanusian. Kadang-kadang kita tersasul dan ada pula sengaja melakukannya kerana disakiti atau ingin membalas dendam. Di sini wujud mangsa dan pemangsa.

Mari kita fahami tingkah laku manusia, mengapa manusia selalu bertindak kejam yang sanggup menjatuhkan kawannya sendiri sebelum kita pergi lebih jauh dan lari dari landasan kebijaksanaan kita. Manusia apabila terdesak akan membuat sesuatu di luar jangkaan contohnya apabila mereka kesempitan wang, merasa terancam, desakan nafsu dan desakkan lain yang mendorong bertindak di luar naluri fitrah manusia. Kalau kita lihat dari sudut negatif pula, kita boleh kategorikan manusia kawan makan kawan adalah manusia yang penuh dengan cemburu, iri hati, hasad dengki dan tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada.
Jika kita lihat dunia pada masa sekarang adalah dunia yang cukup mencabar di mana setiap orang di didik dengan sistem ekonomi imprealisme, leberalisme dan demokrasi yang penuh dengan desakan nilai paksa sebuah kertas. Setiap orang harus bersaing. Di sini jelas bahawa desakkan merupakan kunci mengapa kawan makan kawan terjadi.

Lalu adakah perlu kita menyalahkan dunia yang kejam ini atau kita menyalahkan takdir atas apa yang terjadi. Semua ini sudahpun disebut beribu tahun dahulu kita juga di ajar bagaimana untuk mengatasinya. Ingatkah anda semua dengan ayat ini "Seekor semut di atas batu hitam di malam yang gelap"? jika anda kenal dengan ayat ini, maka anda tahu bahawa cabaran pada era ini bukanlah calang-calang cabaran yang kita hadapi.

Mengapa saya nyatakan bahawa kita sudah di didik beribu tahun dahulu. Lihat ayat ini “Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar....Mereka yang sabar itu akan diberi dua kali ganda pahala disebabkan kesabaran mereka....” (al-Qashash:54). Kita disuruh untuk bersabar. Selain itu, Sabda Rasulullah, "Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.). Didikan ini cukup untuk kita menghadapi situasi ini. Tidak perlu kita membalas individu yang disifatkan kawan makan kawan. Muhasabah diri sendiri, pernahkah kita menyakiti orang lain seperti orang lain menyakiti kita. Redha dengan apa yang terjadi. Jangan merungut atau mengeluh. Sebaliknya kita perlu menjadi lebih kuat dari segi emosi dan matang dari segi kehidupan. Hidup kita tidak lama dan banyak lagi perkara penting yang harus dilakukan daripada membalas individu yang disifatkan kawan makan kawan. Segala rahsia atas kejadian langit dan bumi hanya pencipta kita sahaja yang tahu.

Kita selalu salah sangka dengan pencipta kita. Semasa kecil dulu, apabila saya melihat ibu kucing menggigit anaknya. Saya terus berfikir bahawa ibu kucing itu jahat. Padahal hakikat sebenarnya itulah cara ibu kucing membawa anaknya. Gigi kucing mempunyai deria yang mampu mengawal tekanan gigitan yang tidak mencederakan anaknya. Jika kita tidak tahu maka kita terus menyalahkan orang lain. Janganlah kita berlagak tahu dan berserahlah dengan yang esa.

Apa yang saya sampaikan diharap dapat memberi menafaat kepada pembaca dan jika ada silap dan salah, jangan takut untuk menegur saya dengan cara berhikmah. Saya sedia mendengarnya. Sesungguhnya lebih mudah kita berdebat dengan orang yang memiliki ilmu daripada orang yang jahil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan